KIBARKAN AR-ROYAH ALLAHUAKBAR!!!

Khilafah

Bantu promo blog Syabab-Uridu-Khilafah, copy code diatas dan paste kat mana-mana profile Friendster, Blog etc antum. ~Jazakallahu Khoir~

MY BLOG FOLLOWER

Sunday, January 25, 2009

Saidatina Aishah

"Allah telah menurunkan ayat yang menjelaskan tentang kesucianmu dari atas lapis langit yang ketujuh, tidak ada satu masjid pun yang didalamnya disebutkan nama Allah, kecuali kesucianmu akan dibacakan sepanjang malam dan siang".[Ibnu Abbas]

Aisyah radhiallahu anha, puteri kepada pasangan mulia yang dibina melalui madrasah Rasul, Saidina Abu Bakar radhiallahu anhu dan Ummu Ruman binti Amir bin Uwaymir al-Kinaniyah radiallahu anha. Di rumah yang diliputi dengan kebenaran, kejujuran dan keimanan inilah beliau dilahirkan, tepatnya di Makkah, 7 tahun sebelum hijrah. Beliau turut diberi julukan As-Siddiqah binti As-Siddiq. Dari keluarga sahabat inilah, Allah menempatkan beliau sehingga kemuliaan peribadi dan keutamaan yang ada padanya terus diangkat oleh Allah Subahanahu wa Taala sebagai salah seorang Ummul Mukminin.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda,

“Aku bermimpi melihatmu dua kali atau tiga kali. Malaikat datang membawamu pada sehelai kain sutera, lalu malaikat itu berkata kepadaku, ’Ini adalah isterimu’. Lalu aku membuka kain penutup mukamu dan ternyata engkaulah orangnya”. Aisyah lantas menjawab,” Kalau hal ini dari Allah, Dia pasti akan membenarkannya” [HR Bukhari dan Muslim].

Beliaulah penyeri hidup Rasulullah selepas kewafatan Saidatina Khadijah radiallahu anha. Gaya lincahnya membuatkan Rasulullah sering terhibur. Kehidupan rumah tangga mereka dipenuhi suasana ceria, bahagia dan tenteram. Beliau amat bersungguh-sungguh dalam memupuk kasih sayang dan menarik perhatian Rasulullah. Perkara-perkara yang digemari Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam sangat diutamakannya. Beliau sering mencari-cari kesempatan merapatkan hubungan dengan keluarga baginda. Penampilan dirinya sentiasa dijaga agar kemas, cantik, harum dengan wangi-wangian yang disukai suaminya, Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Namun ada perkara lain yang menyebabkan Saidatina Aisyah begitu istimewa di hati Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehingga membuatkan isteri-isteri baginda yang lain merasa cemburu melihat layanan istimewa baginda serta orang ramai terhadap Saidatina Aisyah yang pintar itu. Rasulullah lantas berterus terang,

“Janganlah kalian mengguris hatiku kerana Aisyah. Demi Allah, aku tidak pernah menerima wahyu ketika bersama isteri-isteri lain kecuali ketika aku bersama Aisyah.”

Tersentuh perasaan hati para ummahatul mukminin dek mendengarkan penjelasan Rasulullah. Sesalan menyelubungi hati mereka. Jika begitu sekali istimewanya Aisyah di sisi Allah Subhanahu wa Taala, mengapa pula mereka mempertikaikannya. Lantas perkara itu tidak lagi ditimbulkan setelah itu.

Aisyah berkahwin dengan baginda Rasul ketika usianya tujuh tahun iaitu sebelum hijrah ke Madinah. Masih di alam kanak-kanak, lantas dia tetap tinggal bersama keluarganya. Setelah berumur 9 atau 10 tahun barulah beliau tinggal bersama Rasulullah. Maka bermulalah liku-liku kehidupan baru baginya. Kini dia adalah isteri seorang Rasul, isteri seorang pemimpin negara.

Terhimpun di dalam diri Aisyah radiallahu anha ilmu dan pelbagai keutamaan. Keistimewaan yang dimiliki beliau di antaranya seperti berpendirian kuat, kecenderungan meneliti sesuatu perkara, ketangkasan bertindak, kefasihan bertutur, daya ingatan yang kuat, segalanya adalah kurniaan dari Allah. Ini menjadikannya susuk peribadi yang kekal diingati sepanjang sejarah kaum Muslimin, kerana ia sesungguhnya telah meninggalkan jejak yang diberkati di dunia ini

Berkaitan dengan ketinggian ilmu beliau, tiada siapa pun dari kalangan para sahabat dan tabi’in yang mampu menyangkalnya. Abu Salamah bin Abdurrahman misalnya, mengatakan

“Aku tidak mengetahui seorang pun yang lebih memahami tentang sunnah Rasul dan yang lebih tepat pendapatnya, lebih tahu tentang ayat Al-Quran yang diturunkan, serta lebih mengerti tentang hal-hal yang fardhu; selain Aisyah”

Ibn Abdil Bar turut mengatakan,

“Aisyah memiliki pengetahuan yang sangat tinggi di dalam bidang tafsir, hadis, dan fikih; selain di dalam bidang perubatan, syair dan salasilah”.

Urwah bin Zubair juga berkata,

“Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang lebih mengerti tentang Al-Quran dan ketentuan-ketentuannya, tentang halal dan haram, tentang syair, tentang pembicaraan dan nasab bangsa Arab, selain Aisyah”

Turut mengakuinya ialah Abu Umar di dalam ucapan beliau,

“Pada zamannya tiada seorang pun yang mampu menandingi Aisyah dalam bidang ilmu fikih, ilmu pengetahuan, dan ilmu syair”

Sahabat yang lain, Abu Bard bin Abu Musa mengisahkan dari ayahnya yang pernah berkata,

“Kami, para sahabat Rasul, tidaklah menghadapi suatu kesulitan lantas kami tanyakan kepada Aisyah, melainkan kami mendapatkan penyelesaian yang baik darinya”.

Di dalam kisah lain, beliau menyebutkan,

“Aku melihat guru-guru para sahabat besar bertanya kepada Aisyah mengenai faraid”

Beliau turut dikenali sebagai seorang perawi hadis yang handal dan tergolong di antara orang yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam selain Saidina Umar Al Khattab, Saidina Ali, Abdullah Ibn Mas’ud, Abdullah Ibn Umar dan Zaid bin Thabit. Beliau juga memiliki kelebihan dalam menukil sunnah nubuwwah yang berupa perbuatan, lalu diajarkan kepada kaum Muslimat lainnya. Beliau meriwayatkan 2210 buah hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, yang kemudiannya dimuatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim (297 buah hadis), yang disepakati oleh keduanya sebanyak 174 buah hadis, dan yang diriwayatkan sendiri oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, masing-masing 54 buah dan 69 buah hadis.

Demikianlah Aisyah, Muslimah yang paling mendalam ilmunya, sehingga sahabat utama seperti Utsman bin Affan sendiri menghantar utusan kepada beliau untuk bertanyakan as-Sunnah. Kenyataan ini tidak dapat disangsikan kerana As-Siddiqah ini lahir dan dibesarkan di rumah As-Siddiq, lalu kemudiannya hidup di rumah nubuwwah, memperkaya peribadi dari sumber nabawi yang murni, malah terlibat langsung dalam asbabun nuzul beberapa kisah di dalam Al-Quran. Cukuplah baginya suatu kelebihan lantaran rumah beliau sebagai tempat turunnya wahyu. Maka, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika beliau layak sebagai Muslimah yang paling mendalam ilmunya, serta keutamaannya tersebar ke seluruh negeri, melebihi sahabat-sahabat lain dalam pelbagai hal yang wajib dan sunnah.

Ummul Mukminin, Aisyah radiallahu anha menjadi teladan dalam hal kezuhudan, kemurahan hati, kedermawanan dan ketabahan beliau. Kezuhudan beliau mencapai darjat yang sangat tinggi kerana beliau sering berpaling dari hal-hal dunia yang melekakan dan menghadapkan diri beliau kepada Allah Subhanahu wa Taala untuk melaksanakan ibadah. Hampir tiada harta yang disisakan di tangannya walau untuk beberapa saat. Harta yang ada padanya segera disalurkan kepada orang-orang miskin. Di antara gambaran kedermawanannya, beliau pernah membahagi-bahagikan seratus ribu dirham hanya dalam satu hari, tanpa meninggalkan satu dirham pun buat dirinya, sementara beliau sendiri berpuasa pada hari tersebut.

Di dalam persoalan ibadah, tiada yang meragukan bahawa Aisyah adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, sehingga ibadahnya dianggap sebagai gambaran sederhana dari ibadah Rasul. Aisyah banyak mendirikan solat sunat, terutamanya solat tahajjud di malam hari. Beliau tidak pernah berdiam diri ketika ada di kalangan para sahabat yang salah dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah atau melanggari hukum syara’. Hal ini diungkapkan oleh Ubaidillah bin Umair, saat Aisyah berkomentar mengenai Abdullah bin Amr ketika memerintahkan kaum wanita untuk membuka sanggul mereka ketika mandi junub, sebagai berkata,

“Alangkah menghairankan Ibn ’Amr ini. Ia memerintahkan para wanita agar membuka sanggul mereka ketika mandi. Mengapa tidak mencukur saja rambut kalian keseluruhannya? Sungguh saya pernah mandi bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan saya tidak lebih hanya menyiramkan kepalaku tiga kali” [HR Muslim]

Beliau juga pernah berhadapan dengan wanita-wanita Himsh sambil berkata,

“Barangkali kalian ini termasuk dari wanita-wanita di permandian umum. Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ‘Siapapun wanita yang melepaskan pakaiannya di luar rumah suami, bererti dia telah merosakkan tabir hubungannya dengan Allah’ [HR Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah]

Di ketika lainnya, Aisyah melihat perubahan di dalam aspek pemakaian kaum Muslimah selepas wafatnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, lantas beliau menolaknya seraya berkata,

“Seandainya Rasulullah melihat apa yang dilakukan oleh Muslimah sekarang, nescaya baginda akan melarang kalian pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita bani Israel dahulu”

Ketabahan Aisyah dalam menghadapi ujian hidup juga merupakan ikhtibar untuk kita yang tinggal. Beliau pernah difitnah berkhalwat dengan Safwan bin Mu’tal, seorang pejuang Islam, angkara seorang munafik berketurunan Yahudi bernama Abdullah bin Ubay. Betapa pahitnya tohmahan itu dan meskipun suami sendiri tidak memihak kepadanya, namun beliau tidak pernah merasai dirinya bersendirian. Hanya Allah tempat hatinya berpaut kukuh. Baginya Allah tidak akan menzalimi hambaNya melainkan ada hikmah yang terselit di sebalik ujian getir itu. Di kala itu, Aisyah sentiasa bersedih sehingga lemah-lemah tubuhnya. Namun kesedihan itu diadukan hanya kepada Allah. Kata-kata yang terbit dari lisannya,

“Aku akan bersabar, kerana jika aku mengaku aku berbuat itu, aku telah berbohong kepada Allah. Dan jika aku mengatakan tidak, mereka semua tidak mempercayai aku. Aku yakin dengan pembelaan Allah.”

Sesungguhnya Allah amat kasih pada Aisyah yang sabar, lalu Allah sendirilah yang membersihkan nama Aisyah melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah.

Aisyah juga merupakan salah seorang wanita Mukminah yang sangat cekal di dalam perjuangannya di medan jihad. Sewaktu Perang Uhud, di saat usia yang masih muda, beliau pernah turut sama mengangkut air di pundaknya sebagai bekalan para mujahidin. Hal ini diakui oleh Anas bin Malik dengan perkataan beliau,

“Aku melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaym, keduanya menyingsingkan hujung pakaiannya lantas keduanya mengangkut bekas air yang besar di pundak mereka lalu memberi minum kepada kaum Muslimin yang terluka. Kemudian keduanya kembali dan memenuhi bekas air tersebut, lalu kembali melakukan hal yang sama” [Muttafaq alaih]

Demikian juga ketika Perang Khandak, Aisyah terjun ke arena jihad dan bergabung bersama para sahabat sehingga beliau maju dan berdiri mendekati barisan hadapan para mujahidin.

Saidatina Aisyah radiallahu anha kembali ke rahmatullah pada hari Isnin malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 58 Hijrah. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat. Penuh sayu beliau membisikkan,

“Kuburkanlah aku pada waktu malam di Padang Baqi’, jangan di samping Rasulullah kerana aku sangat malu pada baginda.”

Riwayat hidup As-Siddiqah merupakan cermin bagi para Muslimah hari ini, di mana dari perjalanan hidup Mukminah solehah ini, kita dapat mengetahui bagaimana beliau mampu memiliki keperibadian utuh tanpa perlu merendahkan diri. Seterusnya, bagaimana wanita Mukminah ini menjaga kemuliaannya, tetapi tetap penuh ketundukan dan kesederhanaan; memahami dan mendalami agamanya sehingga menjadi sumber rujukan; menterjemah sumber deennya ke dalam amalan-amalan nyata; memberikan pendapat dan buah fikiran demi menegakkan agama Allah sehinggalah kepada cara kehidupan suami isteri, yang hasilnya beliau dapat membangkitkan semangat suaminya seterusnya berhasil meraih kejayaan.

Wallahu a’lam.

p/s: sedang tercari2 dimana "Aisyah ini" yang bisa menemani diri dalam perjuangan hingga ke akhir hayat "sebagai seorang syuhada dalam matlamat kehidupan"... heheh.

2 comments:

Anonymous said...

terima kasih ats tulisan blog ini..
syukran krn ia dpt mnyntuh hati saya

Anonymous said...

Selamat ya Khalif..semoga ketemu saiditinanya..

PERJUANGAN ITU